Pemuda PAS Melaka rai anak yatim

MELAKA, 22 Ogos:  Seramai 40 orang anak yatim diraikan semalam di dalam program meraikan anak-anak yatim peringkat negeri  Melaka.

Program yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka itu merupakan program tahunan yang diadakan setiap kali bulan Ramadhan.

Ianya bersifat santai di mana anak-anak yatim dibawa ke pasaraya untuk membeli barangan keperluan  sempena hari raya seperti baju raya, kasut, songkok dan sebagainya.

Selain membeli barang keperluan hari raya, anak-anak yatim itu juga diraikan dengan memberikan sedikit sumbangan berbentuk wang ringgit sebagai duit raya untuk mereka berbelanja.

Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka, Yuhaizad Abdullah berkata, program itu bertujuan bagi menggembirakan anak-anak yatim agar mereka juga berasa gembira seperti mana kanak-kanak biasa yang mempunyai ibu bapa, lebih-lebih menjelang hari raya.

“Kegembiraan jelas terpancar di wajah anak-anak yatim ini apabila saya membawa mereka membeli baju raya,” ujarnya.

Program di rasmikan oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Abduh Nik Aziz yang turut memberikan sumbangan berbentuk wang ringgit kepada anak-anak yatim.

Beliau yang hadir dalam misi jelajah Jaulah Tarbawi mengucapkan tahniah kepada Dewan Pemuda PAS negeri di atas kejayaan melaksanakan program meraikan anak-anak yatim itu.

Program  diakhiri dengan majlis berbuka puasa bersama-sama yang turut dihadiri oleh pimpinan DAP dan beberapa pimpinan dari AMK Melaka.