Sinar Islam Untuk Semua

Firman Allah SWT (Surah al-Mumtahanah 60:8):

yang bermaksud : Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu Karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.

Penganjuran ”Seminar Hubungan Muslim – Non Muslim Dalam Konteks Malaysia” pada saya adalah memenuhi dan sangat tepat pada masanya. Ini kerana kita seringkali dihidangkan dengan isu-isu panas yang melibatkan pertikaian antara kaum dan agama yang ditimbulkan oleh piha-kpihak tertentu semata-mata untuk menjaga kepentingan politik.

Perjuangan untuk Allah

Akhir-akhir ini, pertembungan ini dilihat semakin dahsyat ditambah pula oleh peranan media massa yang turut menyimbah minyak ke atas api pertikaian yang marak. Jika dahulu, parti-parti seperti PAS dilabel sebagai parti perkauman, rasis, radikal dan sebagainya, maka hari ini seolaholah label itu telah bertukar arah dan dipakai pula oleh golongan yang dulunya mendakwa liberal. Perlulah disedari, PAS sendiri tidak pernah bersikap perkauman sejak dari dahulu hinggalah ke hari ini. Label-label yang negatif yang dipakaikan oleh pihak media massa langsung tidak benar dan hari ini ia terbukti merupakan tuduhan yang tidak berasas semata-mata. Perjuangan PAS sendiri bukanlah mengajak kepada menegakkan idealisme perkauman yang sempit tetapi mengajak manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT selaku pencipta alam semesta.

Dunia yang indah ini tidak mungkin wujud dengan sendirinya tanpa Pencipta. Akal logik tentu sekali tidak dapat menafikan wujudnya kuasa yang mengatur perjalanan alam yang begitu tersusun ini. Peredaran bulan dan bintang, pergantian malam dan siang yang begitu teratur mustahil wujud kecuali adanya kuasa yang mencipta dan mengurus tadbirnya. Kita tentu sekali boleh menerima bagaimana tubuh badan manusia yang terdiri daripada pelbagai anggota dan beribu-ribu sendi hanya dikawal oleh akal sebagai papan kawalan utama.

Demikianlah juga sebuah kilang yang terdiri daripada pelbagai jentera dan mesin namun kesemuanya hanya digerakkan dengan hanya menekan suis utama. Maka begitu jugalah alam semesta yang begitu hebat ini tentulah ditadbir oleh satu kuasa saja. Kuasa ini esa, tidak ada dua dan tiganya.

Sinar Islam memenuhi harapan

Harapan masyarakat Malaysia adalah untuk mewujud sebuah kehidupan aman, damai, sejahtera dan harmoni berteraskan agama. Besarlah harapan agar kita semua dapat menjernihkan pandangan kita terhadap Islam yang sekian lama disolekkan dengan wajah yang comot oleh pihak-pihak yang tertentu. Segala prejudis dan salah faham yang sering mengabui mata hendaklah dicuci sama sekali, agar kita semua dapat melihat warna Islam yang sebenar. Sesungguhnya sinar Islam adalah cahaya yang boleh memenuhi harapan kita semua. Sejarah sendiri menyaksikan bagaimana orang Cina dan India lebih dahulu menerima Islam berbanding orang Melayu. Ia berlaku kerana sinar Islam itu dipancarkan dengan baik kepada mereka. Ia cukup membuktikan bahawa Islam tidak asing di kalangan kedua-dua bangsa ini. Justeru, kepada sahabat sebangsa saya yang masih enggan menerima Islam, ingatlah, sesungguhnya Allah SWT hanya akan memuliakan sesuatu bangsa itu dengan Islam. Tanpa Islam, Allah SWT pastinya akan menggantikan kaum yang lain untuk menerajui pentadbiran di bumiNya sebagaimana firmanNya (surah Muhammad :38):

yang bermaksud : dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma) nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.

Semoga setiap amalan yang kita lakukan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT, maka bersetujulah kita dengan kemuliaan dan kebesaran-Nya yang merahmati umat manusia ini dengan sinar Islam.

*** Coretan di atas hanya sebahagian, boleh layari http://www.blogtokguru.com/sinar-islam-untuk-semua/ untuk penjelasan yang lebih lanjut.

Dipetik daripada laman web rasmi Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat: http://www.blogtokguru.com/