Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (…

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi digesa menyiasat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2009 yang menunjukkan terdapatnya keraguan dalam pengurusan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) yang dipengerusikannya, lapor Harakahdaily.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Adly Zahari berkata sehingga ini, SPRM masih gagal menyiasat dan mengheret Ketua Menteri Melaka itu ke muka pengadilan walaupun bukti-bukti sudah terbentang di hadapan mata tentang salah laku dan penyelewengan Maim dan agensi-agensi lain.

Adly berkata laporan Ketua Audit Negara tersebut secara jelas mendedahkan kegagalan Regal Merger Sdn. Bhd (RMSB) membina kompleks Maim menyebabkan agensi itu terpaksa membangunkan sendiri kompleks tersebut berjumlah RM13.85 juta dengan menggunakan peruntukan wang zakat.
Beliau melahirkan rasa kesal di atas kelalaian yang dilakukan oleh kerajaan Umno BN yang diketuai Mohd Ali sehingga menyebabkan tanah milik Maim terlepas kepada pihak ketiga.

Katanya, kerajaan Melaka melalui Maim juga dilihat gagal memantau projek yang dilaksanakan oleh RMSB yang telah mengingkari perjanjian dengan tidak membina Kompleks Maim sehingga tamat tempoh perjanjian pada 13 Jun 2004.

Sebaliknya, tegas beliau, RMSB membina projek pembangunan lima tingkat Kompleks Perniagaan dan 30 unit rumah kedai tiga tingkat di atas tapak PT 83.

Adly mendedahkan, Maim telah menandatangani satu perjanjian usaha sama dengan RMSB pada 13 Disember 2002.

“RMSB dikehendaki membina Kompleks Maim di PT 1155, Bandar Bukit Baru, Daerah Melaka Tengah dalam tempoh 18 bulan dari tarikh surat perjanjian ditandatangani dengan kos pembinaan berjumlah RM10.16 juta.

“Sebagai balasan, RMSB diberi hak membangunkan tanah di PT 83 dan Maim akan memindah milik PT 83 kepada RMSB sebaik sahaja pembinaan Kompleks Maim selesai,” tulis beliau di dalam blognya adlyzahari.blogspot.com.

Dakwa Adly lagi, pihak RMSB telah memecah PT 83 kepada lima lot kecil iaitu Lot 105 hingga Lot 109 dengan kelulusan Pejabat Tanah Dan Galian Melaka pada 14 Disember 2006.

RMSB, katanya telah menjual Lot 106 pada 7 Februari 2007 kepada BC Lim Enterprise dengan harga RM10.5 juta dan Lot 105 kepada Universiti Terbuka Malaysia pada 8 Oktober 2007 dengan harga RM10.4 juta.Mais, menurut Adly yang dipengerusikan Ali Rustam sepatutnya bertanggungjawab sehingga menyebabkan wang zakat sebanyak RM13.85 juta digunakan, di samping kehilangan tanah di Lot 105 dan Lot 106.

“Sikap kerajaan Umno BN yang membenarkan tanah wakaf dijual pada pihak ke 3 adalah gambaran perangai hipokrit Umno yang kononnya berusaha menyelamatkan Melayu dan Islam.

“PAS Melaka mendesak SPRM melakukan siasatan menyeluruh bagi memastikan ketelusan dan mereka yang melakukan penyelewengan di hadapkan ke muka pengadilan,” tegas Adly.

Adly yang menulis di dalam blognya berkata kerajaan negeri Melaka di bawah pimpinan Mohd Ali, gagal menguruskan harta wakaf dan wang zakat sehingga banyak kelemahan dikenalpasti dalam sebuah negeri yang dikatakan berstatus ‘Negeri Maju’.

Beliau berkata nilaian tanah milik Maim telah berkurangan daripada RM18.81 juta pada tahun 2006 kepada RM9.11juta sahaja pada 2008.

“Penggunaan wang Baitulmal sebanyak RM1.8 juta bagi pengubahsuaian kompleks perniagaan Maim, yang disewakan kepada Jaim.

“Selain itu Maim juga gagal mendaftar sebanyak 20 peratus dari tanah yang diwakafkan malah proses mendaftar tanah wakaf mengambil masa dari 21 hingga 164 bulan,” jelas Adly yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah.Menurutnya, kelemahan lain adalah berkaitan penyelenggaraan daftar harta wakaf, harta faraid dan sewa hartanah, pencerobohan tanah Baitulmal serta tanah wakaf tidak dapat dikenalpasti lokasinya.-malaysiakini