Keputusan yang dijangka

Mahkamah menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkan tuduhan liwat terhadapnya ekoran dakwaan terdapat hubungan antara pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan timbalan pendakwa raya (DPP), Farah Azlina Latif.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah mengumumkan keputusan itu pagi ini.

Menurutnya, dakwaan hubungan tersebut tidak menjejaskan integriti pihak pendakwa.

Ini kerana Farah Azlina tidak mempunyai akses kepada dokumen-dokumen penting pihak pendakwa seperti yang dinyatakan dalam afidavit pegawai penyiasat Jude Blacious Pereira (kiri) dan DPP Mohd Hanafiah Zakaria.

Hakim Mohamad Zabidin berkata tiada sebab bagi mahkamah untuk tidak menerima penjelasan Jude dan Hanafiah dalam isu tersebut.

Dari penjelasan mereka, katanya, adalah munasabah untuk memutuskan bahawa walaupun Farah merupakan anggota pasukan pendakwa, tetapi peranannya terhad kepada ‘apa yang perlu’ tahu.

Katanya, Farah tidak mempunyai akses kepada kertas atau dokumen siasatan dan juga tidak terbabit dalam sesi taklimat.

Hakim berkata, oleh kerana Farah tidak mempunyai akses kepada kertas siasatan atau kandungan kes, maka pengadu, Saiful juga tidak mempunyai akses menerusi Farah.

Mengenai isu integriti pihak pendakwa, Mohamad Zabidin
memutuskan bahawa Farah bukan pegawai pendakwa yang bertanggungjawab mendakwa tertuduh, kerana dia hanya hadir di mahkamah untuk mengambil nota.

Menurutnya lagi, Farah juga tidak bertanggungjawab untuk menyoalsiasat para saksi.

Oleh itu, Mohamad Zabidin berpendapat bahawa Saiful tidak mempunyai sebarang pengaruh ke atas Farah berdasarkan dakwaan hubungan antara mereka, dan ia tidak mungkin mempengaruhi pihak pendakwa dan menjejaskan integriti pasukan pendakwa.

Menurutnya lagi, juga tidak timbul isu prejudis terhadap Anwar dalam perbicaraan ini dan atas sebab tersebut, beliau mendapati tiada berlaku penyalahgunaan proses mahkamah seperti yang didakwa, dan oleh itu menolak permohonan untuk menggugur kes liwat tersebut.

Mohamad Zahidin juga mengarahkan perbicaraan kes liwat terhadap Anwar diteruskan, walaupun dibantah oleh pihak pembela.-sumber:malaysiakini

DPPN said- satu keputusan yang telah dijangka setelah beberapa rayuan sebelum ini juga ditolak antaranya permohonan mendapatkan bahan bukti daripada pihak pendakwa.Kenyataan polis yang bercanggah,kenyataan saksi yang bercanggah dan kegagalan memberi laporan pemeriksaan kesihatan untuk dinilai pihak ketiga….berapa lama lagi harus kita melihat drama ini.