Ali Rustam Dicabar Kuatkuasa Pengharaman Arak

banner Ustaz Kamarudin2

MELAKA, 11 Ogos (Hrkh) – Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Mohd Ali Rustam digesa menguatkuasakan dengan segera undang-undang pengharaman arak di Melaka bagi membuktikan bahawa beliau benar-benar merupakan seorang pemimpin yang prihatin terhadap agama Islam, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamaruddin Sidek.

“Jika dia juga seorang pemimpin yang menghormati budaya Melayu dan agama Islam, kenapa dia sendiri tidak melaksanakan undang-undang pengharaman penjualan arak di negeri ini terlebih dahulu.

“Jika langkah itu tidak dilaksanakan di semua peringkat negeri, memadai ia dibuat di peringkat daerah demi membuktikan beliau benar-benar seorang pemimpin yang prihatin dengan umat dan agama Islam,” kata beliau.

Beliau mencabar Ali Rustam melaksanakan pengharaman arak di negeri Melaka berikutan cabaran yang dibuat oleh Ketua Menteri itu supaya PAS Selangor keluar dari Pakatan Rakyat kerana isu yang membabitkan penjualan arak di Selangor baru-baru ini.

“Beliau adalah seorang pemimpin yang mempunyai sokongan majoriti di negeri ini dan dia berhak serta mempunyai kuasa untuk melaksanakannya.”Jika tidak berani melaksanakannya, lebih elok dia tidak membuat sebarang komen atau mencabar PAS Selangor supaya keluar dari Pakatan Rakyat, jangan campur hal rumahtangga orang lain,” katanya.

Sebelum ini, Ali Rustam mengeluarkan kenyataan mencabar PAS Selangor supaya keluar dari Pakatan Rakyat berikutan kemelut yang melanda dengan isu penjualan arak di Selangor tetapi pada masa yang sama beliau hanya memejamkan mata sahaja terhadap lambakan penjualan arak di Melaka terutamanya di Melaka Raya.

sumber: Harakah / Blog Ust Kamarudin Sidek