Memo buat Ali Rustam

datuk-mohd-ali-rustamEpisod bantahan penduduk Kampung Pondok Kempas dan Kesang Pajak yang sebelum ini mengadakan demonstrasi bantahan pembinaan memorial tanah perkuburan diharap akan berakhir.

Ahli Jawatankuasa Bertindak Membantah Pembinaan Rumah Pembakaran Mayat dan Kubur Cina, semalam bertindak tegas menghantar memorandum bantahan kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakub, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Mufti Negeri, Datuk Wira Rashid Redza Saleh.

Ia berikutan tiada sebarang reaksi daripada jabatan kerajaan yang terlibat bagi menyelesaikan masalah itu setakat ini, malah projek terbabit sudah berjalan hampir 35 peratus.

Pengerusinya, Muhammad Keling, berkata, penduduk amat berharap projek berkenaan dapat diberhentikan berikutan tidak mendapat persetujuan penduduk.

“Kami cukup serius dalam hal ini sehingga menyerahkan memorandum kepada pihak atasan kerana sebelum ini tiada sesi dialog bersama penduduk kampung diadakan sebelum projek itu dijalankan.

“Harapan kami, bantahan ini tidak dipandang ringan pihak kerajaan negeri dan mungkin ada kawasan yang lebih baik untuk dibina memorial terbabit, bukannya di kampung kami,” katanya kepada media selepas menyerahkan memorandum itu di Seri Negeri, semalam.

Bantahan sebanyak dua kali sejak 18 Mei lalu juga berjaya mengumpulkan 276 tandatangan penduduk kampung yang tidak bersetuju projek seluas 30.8 hektar itu diadakan di kawasan mereka.

Sumber: Sinar Harian